Risiko Terhadap Golongan Muda yang Terlepas Pandang Tentang Perancangan Kewangan Masa Depan

Kehidupan masa kini sering melibatkan golongan muda yang terlalu sibuk dengan pekerjaan hakiki dan mereka terlepas pandang untuk memikirkan hari persaraan. Isu ini membawa kepada pelbagai kerugian dalam kalangan golongan muda, terutamanya yang berkaitan dengan kurangnya kesedaran kewangan, kurang ilmu tentang simpanan dan pelaburan.

Pertama sekali, salah satu kerugian utama ialah tiada persediaan untuk hari persaraan. Mereka terlalu terfokus pada pekerjaan mereka saat ini tanpa mengambil kira perlunya merancang untuk masa depan. Apabila menghadapi masalah kekangan kewangan, mereka tidak lagi mampu bekerja pada usia tua dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang mencukupi untuk menampung kehidupan sehari-hari.

Kedua, kurangnya kesedaran kewangan menjadi satu isu serius. Mereka tidak menyedari betapa pentingnya pengurusan kewangan yang baik untuk mencapai matlamat kewangan. Tanpa pengetahuan yang mencukupi tentang bagaimana menguruskan wang, mereka mungkin terjebak dalam perangkap hutang dan menghadapi kesulitan kewangan.

Ketiga, kurangnya ilmu tentang simpanan menjadi penghalang kepada pencapaian kestabilan kewangan. Mereka tidak memahami betapa pentingnya menyimpan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk keperluan kecemasan. Tanpa tabiat menyimpan yang baik, mereka mungkin menghadapi cabaran besar apabila berhadapan dengan keperluan yang tidak dijangka.

Keempat, kurangnya pemahaman tentang pelaburan menyebabkan kehilangan peluang untuk pertumbuhan kewangan jangka panjang. Mereka lebih cenderung mengekalkan simpanan mereka dalam bentuk wang tunai, tanpa mengambil peluang untuk melabur dalam instrumen kewangan yang boleh memberikan pulangan yang lebih baik. Ini boleh merugikan mereka dalam jangka panjang kerana tidak melabur.

Isu ini juga berkait rapat dengan situasi semasa, terutamanya dalam konteks ekonomi yang tidak menentu dan cabaran kewangan yang dihadapi oleh ramai orang. Dengan kadar inflasi yang meningkat dan kos sara hidup yang terus naik, penting bagi orang muda untuk memahami keperluan untuk merancang kewangan mereka dengan bijak.

Bagi mengatasi masalah ini, pendekatan pendidikan kewangan di sekolah dan institusi pengajian tinggi dapat membantu meningkatkan kesedaran kewangan di kalangan generasi muda.

Selain itu, kempen-kempen penyelidikan awam dan swasta boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang pentingnya persediaan untuk hari persaraan, kesedaran kewangan, simpanan, dan pelaburan.

Dalam konteks pekerjaan, usaha untuk meningkatkan kestabilan kewangan pekerja, syarikat-syarikat swasta perlu sedar tentang kepentingan penyertaan mereka dalam Skim Simpanan Persaraan ( PRS ). Selain daripada caruman wajib KWSP, simpanan PRS menawarkan pelbagai faedah dan kelebihan kepada majikan dan pekerja. Syarikat-syarikat yang menyokong inisiatif ini bukan hanya memberikan manfaat kepada pekerja, tetapi juga membantu mencipta persekitaran korporat yang lebih mapan.

Secara keseluruhannya, kesedaran kewangan, persediaan untuk hari persaraan, pengetahuan tentang simpanan, dan pemahaman pelaburan adalah aspek-aspek penting yang harus diambil kira oleh semua pihak dalam memastikan kesejahteraan kewangan.

Dengan meningkatkan pemahaman ini, generasi muda dapat menghadapi masa depan dengan lebih yakin dan mencapai matlamat kewangan mereka dengan lebih berkesan.




Catat Ulasan

0 Ulasan